Pada suatu petang seorang tua bersama anak mudanya
yang baru menamatkan pendidikan tinggi duduk berbual-bual di halaman sambil memerhatikan suasana di sekitar mereka.

Tiba-tiba seekor burung gagak hinggap di ranting pokok
berhampiran. Si ayah lalu menuding jaring ke arah gagak sambil
bertanya, “Nak, apakah bendanya itu?” “Burung gagak”, jawab si anak.

Si ayah mengangguk-angguk, namun sejurus kemudian
sekali lagi mengulangi soalan yang sama. Si anak menyangkakan ayahnya kurang mendengar jawapannya tadi lalu menjawab dengan sedikit kuat, “Itu burung gagak ayah!”

Tetapi sejurus kemudian si ayah bertanya lagi soalan
yang sama. Si anak merasa agak keliru dan sedikit runsing dengan soalan
yang sama diulang-ulang, lalu menjawab dengan lebih kuat,
“BURUNG GAGAK!!”

Si ayah terdiam seketika. Namun tidak lama kemudian
sekali lagi mengajukan soalan yang serupa hingga membuatkan si anak hilang sabar dan menjawab dengan nada yang hendak tak hendak melayan si ayah, “Gagak la ayah…….”.

Tetapi agak mengejutkan si anak, apabila si ayah sekali lagi membuka mulut hanya untuk bertanyakan soalan yang sama. Dan kali ini
si anak benar-benar hilang sabar dan menjadi marah.

“Ayah!!! saya tak tahu samada ayah faham atau tidak. Tapi sudah lima kali ayah bertanya soalan tersebut dan saya sudah pun
memberikan jawapannya. Apa lagi yang ayah mahu saya katakan???? Itu burung gagak, burung gagak la…..”, kata si anak dengan nada yang begitu marah.

Si ayah terus bangun menuju ke dalam rumah meninggalkan si anak yang
terpinga-pinga. Sebentar kemudian si ayah keluar semula dengan sesuatu di tangannya. Dia menghulurkan benda itu kepada anaknya
yang masih geram dan tertanya-tanya. Ianya sebuah diari lama.

“Cuba kau baca apa yang pernah ayah tulis di dalam diari itu”, pinta si
ayah. Si anak akur dan membaca perenggan yang berikut……….

Hari ini aku di halaman melayan karenah anakku yang genap berumur lima tahun. Tiba-tiba seekor gagak hinggap di pohon
berhampiran. Anakku terus menunjuk ke arah gagak dan bertanya, “Ayah, apa tu?”. Dan aku menjawab, “Burung gagak”. Walau bagaimana pun, anak ku terus bertanya soalan yang serupa dan setiap kali aku menjawab dengan jawapan yang sama. Sehingga 25 kali anakku bertanya demikian, dan demi cinta dan sayangkannya aku terus
menjawab untuk memenuhi perasaan ingin tahunya. Aku berharap ianya
menjadi suatu pendidikan yang berharga.

Setelah selesai membaca perenggan tersebut si anak mengangkat muka
memandang wajah si ayah yang kelihatan sayu. Si ayah dengan perlahan bersuara, ” Hari ini ayah baru bertanya kau soalan yang sama sebanyak lima kali, dan kau telah hilang sabar serta marah.

Begitulah juga jika dinisbahkan kisah ini dengan kita. Kita sering meninggikan suara, mencaci dan mengherdik orang tua kita kerana berselisihan pendapat dan sebagainya. Kita menganggap mereka tak up-to-date, kuno, tak open minded dan sebagainya sedangkan kita lupa bahawasanya mereka itu merupakan pemulaan bagi hidup kita. Ibu bapa yang kita yang kita labelkan dengan bermacam-macam gelaran itulah yang mendidik kita sehingga menjadi terpelajar dan bijak pandai. Tetapi kita kadang-kadang terlupa. kita bagaikan ayam yang berkokok megah, ekor terpalit najis sendiri.

Semoga kisah ini menjadi iktibar bagi mereka yang mengambil pengajaran. Wallahualam
kumpulan artikel |
0 Responses

Catat Ulasan